Archive for March 10th, 2008
Fuziah Salleh: Press Release
Posted March 10, 2008
on:- In: Kuantan | malaysian politics | politics
- 9 Comments
Edaran untuk Media
9hb Mac 2008
Akhirnya Parlimen Kuantan telah menjadi amanah Parti Keadilan Rakyat buat pertama kalinya dalam pilihanraya ke-12 kali ini. Fuziah Salleh telah menewaskan Fu Ah Kiaw seorang Timbalan Menteri BN dengan majoriti undi sebanyak 1, 826 malam tadi.
Pn Fuziah Salleh dalam kenyataannnya hari ini telah mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada para pengundi Kuantan yang telah memberi amanah dan keyakinan kepada beliau untuk mewakili rakyat Kuantan di Parlimen.
Beliau telah menyenaraikan beberapa perkara penting yang akan beliau lakukan segera.
Pertama, Pusat Khidmat Masyarakat KeADILan Kuantan akan diperkukuh dan dikembangkan dengan pertambahan dua lagi staf sepenuh masa dalam masa satu minggu ini. Setakat ini, Pusat tersebut mempunyai satu staf sepenuh masa dan para sukarelawan yang sedia bertugas pada masa-masa yang perlukan.
Kedua, membina hubungan langsung dengan semua daerah-daerah di Kuantan. Dengan itu, kerjasama dan hubungan dengan Jawatakuasa Kampung dan Persatuan-Persatuan Orang Ramai di Kuantan amatlah penting. Ia memberi akses langsung kepada rakyat Kuantan agar beliau dapat mendengar, memahami dan mencari usaha-usaha pembaikan tentang apa jua yang melibatkan kebajikan dan keperluan rakyat Kuantan.
Ketiga, mengadakan sesi perbincangan dengan ketiga-tiga ADUN (BN) dalam Parlimen Kuantan (Teruntum, Tg. Lumpur dan Inderapura) bagi memastikan segala rancangan untuk rakyat Kuantan berjalan dengan sebaik mungkin. Kerjasama dari ketiga-tiga ADUN tersebut amatlah mustahak dalam rangka memastikan kesejahteraan dan pembangunan rakyat di Kuantan berterusan dan berkembang. Fuziah Salleh menyeru supaya wakil-wakil rakyat Kuantan bekerjasama tanpa mengira sempadan-sempadan politik yang sedia wujud. Sewajarnya kepentingan rakyat Kuantan mengatasi kepentingan mana-mana parti politik.
Keempat, membina saluran komunikasi dengan institusi-institusi yang ada di Kuantan – sama ada di peringkat negeri atau persekutuan, khususnya bersama MPK, Jabatan Kesihatan, Pelajaran dan Kebajikan Masyarakat. Beliau berharap bahawa hubungan dua hala dengan insitusi-institusi tersebut dapat diwujudkan bagi menjana segala input yang diperlukan untuk menjamin pengolahan dan perlaksanaan program-program yang berkualiti bagi keperluan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa parti Keadilan Rakyat adalah sebuah parti yang senantiasa mengambil berat hal ehwal semua kaum – rakyat berhak mendapatkan hak mereka tanpa mengira bangsa dan agama.
Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Kuantan